Rabu, 5 Disember 2012

BERSAMA-SAMA KITA AMALKAN NILAI-NILAI MURNI




Aspek Nilai-nilai Murni

Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.

Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui:

a.  Secara pertuturan
b.  Secara perlakuan
c.  Secara teladan
d.  Secara isyarat
e.  Secara kefahaman
f.   Secara interpretasi
g.  Secara konteksual

Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.

Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah memperakui 16 nilai-nilai murni:-

1. Baik Hati

Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi:
*  Aspek belas kasihan
*  Bertimbang rasa
*  Murah hati
*  Saling faham memahami
*  Sedia memaafkan

2. Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian:
*  Bertanggungjawab
*  Berupaya bertindak sendiri
*  Jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi
Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah:
*  Kesopanan
*  Mengakui kesalahan
*  Ramah mesra

4. Hormat - menghormati
Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan. Ini merangkumi:
*  Hormat dan taat kepada ibubapa
*  Hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
*  Hormat kepada raja dan negara
*  Patuh kepada undang-undang
*  Hormat kepada hak asasi
*  Hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan
*  Hormat kepada keperibadian individu.

5. Kasih sayang
Perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang unsur kepentingan diri:
*  Sayang kepada nyawa
*  Sayang kepada alam sekeliling
*  Cinta kepada negara
*  Cinta kepada keamanan dan keharmonian

6. Keadilan
Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

7. Kebebasan
Kebebasan yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara. Contohnya ialah:
*  Kebebasan di sisi undang-undang
*  Kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian
Kesanggunpan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang. Tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi:
*  Berani dengan tidak membuta tuli
*  Berani kerana benar
*  Berani mempertahankan pendirian
*  Berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan fizikal dan mental
Kebersihan fizikal ialah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kebersihan mental pula merangkumi pertuturan, perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya ialah:
*  Kebersihan diri
*  Kebersihan persekitaran
*  Pertuturan dan kelakuan yang bersopan
*  Pemikiran yang sihat dan membina

10. Kejujuran
Sikap dan perlakuan yang menunjukan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

11. Kerajinan
Usaha berteruan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.

12. Kerjasama
Usaha baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong royang, ketoleranan dan perpaduan.

13. Kesedaran
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Ini termasuklah:
*  Sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
*  Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku.

14. Kesyukuran
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan penghargaan.

15. Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Umpamanya seperti boleh membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan dan berfikiran logik dan terbuka.

16. Semangat Bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat seperti bermuafakat, kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat.

Strategi Penerapan Nilai Murni


Suatu proses perubahan yang sedang berlaku dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan menjadikan "Manusia" sebagai objek yang paling utama. Aspek-aspek Ontologi (teori kejadian), epistemologi (teori ilmu) dan axiologi (teori nilai). Ketiga-tiga aspek ini digabungkan sebagai commitment untuk menjadikan nilai-nilai murni sebagai asas utama dalam kurikulum pendidikan kebangsaan.
Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu diperingkat menengah. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai.
Dalam pendidikan , penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan  secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.
Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam matapelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Pelajar di mana membuat penilaian berdasarkan kepada nilai mereka sendiri di mana guru hanya bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar untuk mereka periksa nilai sendiri di samping guru mencari alternatiif lain.
Nilai yang diterapkan boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat pertimbangan yang baik dalam menghadapi menyelesaikan sesuatu masalah. Sikap perihatin guru dan kesedaran pelajar dalam memupuk nilai murni baik secara formal ataupun spontan menyebabkan ianya akan sentiasa dapat dipupuk dari semasa ke semasa.
Tindakan Kementerian Pendidikan yang melancarkan strategi bersepadu diperingkat sekolah menengah (KBSM) adalah bersesuaian kerana ia bertujuan memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah jauh antara satu sama lain dan sentiasa berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur yang menunjukan kesepaduan ini ialah unsur nilai.

Teknik Penerapan Nilai Murni


Walaupun nilai-nilai murni diwar-warkan untuk dilaksanakan dan diserapkan dalam pendidikan, jika tidak ada teknik yang sesuai ianya tidak akan mencapai matlamat dan keberkesanannya. Antara cara yang dikenalpasti untuk menerpkan dan menyerap serta menyemai nilai-nilai murni ialah:

       • Melalui matapelajaran tertentu (Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam)

       • Penerapan nilam murni dalam matapelajaran lain
       • Aktiviti ko-kurikulum
       • Aktiviti persatuan sekolah

Melaui teknik-teknik di atas, penerapan nilai murni akan dapat dilaksanakan walaupun tidak sepenuhnya. Melalui matapelajaran tertentu, sekurang-kurangnya dengan mewajibkan pelajaran mengambil subjek yang berkenaan akan memberikan pengetahuan ataupun akan dapat menarik minat mereka untuk belajar.

Begitu juga dengan penerangan melalui matapelajaran lain yang mungkin berlaku secara langsung misalnya melalui perlakuan atau interaksi. Di sini pelajar akan dapat melihat dan membandingkan serta mengaitkan apa yang dipelajari dalam matapelajaran khusus tadi dengan apa yang dilihat sekarang. Disamping bimbingan guru-guru dasn ibubapa, kesedaran daripada pelajar itu sendiri amat penting dalam menetapkan situasi diri mereka sendiri.
Teknik ke tiga dan ke empat juga berlaku secara tak langsung di mana biasanya melalui teknik ini penerapan nilai-nilai murni akan lebih menyerlah. Penerapan nilai-nilai murni akan tertera dengan sendirinya. Jika kumpulan yang tidak mempunyai nilai murni mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bermasalah.

Penutup


Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat.
Tanggungjawab untuk menyediakan generasi yang seimbang dan harmonis dari segi JERI bagi melaksanakan hasrat FPN bukanlah satu yang mudah. Penggubalan KBSM adalah harapan untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia.
Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi perlulan juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role model" perlulah menunjukkan dan menainkan peranan dalam menerapkan nilai murni baik dari segi perbuatan, perlakuan maupun tuturkatanya. Guru harus cekap dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.
Kesemua nilai yang disenaraikan merupakan asas atau jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk perwatakan dan displin diri yang tinggi dan mulia. FPN digubal berpandukan kepada konsep berteraskan Allah SWT. Ia menampakkan sifat yang bersepadu, menyeluruh dan seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal; kesepaduan di antara akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali, di antara kemahiran dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan dan akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.
Tindakan kerajaan menukarkan kurikulum lama kepada kurikulum baru iaitu pendidikan bersepadu (KBSM) adalah satu langkah yan bijak dan tepat. Ini menunjukkan kerajaan ada campurtangan dan turut memberi penekanan kepada bukan sahaja ilmu yang bersifat kerohanian dan keduniaan tetapi juga ilmu moral yang lebih bersifat kejasmanian dan keakhiratan. Pendidikan akan sentiasa terus berlangsung, tiada limitasinya. Matlamat akhir pendidikan bersepadu adalah merupakan integrasi tanggungjawab membentuk insan yang baik dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek selaras dengan kehendak FPN.


Tiada ulasan: