Khamis, 29 November 2012


BACAAN LUAS

Di ruangan ini, Cikgu Anna Su ingin mengajak murid-muird  membaca satu contoh  karangan biografi tentang seorang tokoh ilmuan. Di samping itu, murid-murid dapat menambah pengetahuan am. 
















Karangan Biografi.

Tokoh Ilmuan Bahasa yang Saya Kagumi

     Negara kita tidak kurang tokoh yang sudah mencipta nama dalam bidang masing-masing. Dalam bidang bahasa, nama Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan bukanlah nama yang asing. Saya amat mengagumi ketokohan beliau itu.
     Dr. Awang Sariyan dilahirkan di Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor pada 20 Oktober 1953. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Teluk Kerang. Kemudian beliau bersekolah menengah di Sekolah Menengah Teluk Kerang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru.
     Minat dan ketokohan Dr. Awang dalam bidang bahasa terbukti apabila beliau diberi peluang menjadi tutor sambilan sewaktu menuntut dalam tahun tiga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ketika itu beliau diminta membantu Pak Asraf atau Asraf bin Abdul Wahab mengajarkan bidang tatabahasa bahasa Malaysia kepada mahasiswa UKM.
     Dr. Awang memperoleh ijazah Sarjana Muda Persuratan dengan kepujian, Diploma Pendidikan dari UKM. Beliau meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Malaya (UM). Dalam lapangan kerjaya, beliau pernah bekerja di syarikat penerbitan swasta. Beliau kemudiannya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pegawai penyelidik. Di DBP, Dr. Awang menjadi editor Jurnal Dewan Bahasa.
     Kerjaya Dr. Awang Sariyan adalah berkaitan dengan bidang yang menjadi minat beliau. Beliau pernah menjadi pensyarah sambilan bidang Penguasaan Bahasa di UM, pensyarah Bahasa Malaysia di Universiti Pertanian Malaysia dan pensyarah Bahasa Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa.
     Tokoh bahasa ini telah mengasilkan ratusan makalah, puluhan kertas kerja dan buku ilmiah dalam bidang bahasa. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah, termasuklah Hadiah Bahasa pada tahun 1985. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.
     Ketokohan Dr. Awang Sariyan memang saya kagumi. Beliau yang pernah menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, DBP, Profesor Linguistik di Universiti di Universiti Putra Malaysia dan di Akademik Pengajian Melayu Universiti Malaya ini telah menyumbangkan fikirannya untuk memajukan bahasa Malaysia di Nusantara.



Tiada ulasan: